SAFAWI menjaringkan gol cantik ketika bertemu Kepulauan Solomon. FOTO GHAZALI KORI
SAFAWI menjaringkan gol cantik ketika bertemu Kepulauan Solomon. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya betul-betul gembira dengan gol itu…dan bukan mudah untuk melakukannya, dan anggap itu gol terbaik saya dalam bola sepak".

Demikian kata pemain sensasi negara, Safawi Rasid yang mengakui gembira apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu mencalonkan gol yang dijaringkan olehnya ketika menentang Kepulauan Solomon dalam Anugerah Puskas Fifa tahun ini.

Jelas Safawi, dia berterima kasih kepada FAM yang sedia mempertimbangkan golnya itu sebagai gol terbaik ke Fifa.

"Saya terima kasih kepada semua, termasuk penyokong yang menilai gol saya itu dan saya hargai sokongan semua," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman yang mengakui pihaknya sedia menghantar jaringan Safawi ke Anugerah Puskas Fifa, di mana ia akan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal badan induk itu pada minggu harapan.

Selain gol Safawi, jaringan akrobatik tonggak import Johor Darul Ta'zim (JDT), Fernando Forestieri yang melakukan sepakan gunting ketika menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super baru-baru ini turut akan dipertimbangkan ke anugerah berprestij itu.

Dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan Kepulauan Solomon Rabu lalu, Safawi meledak gol ketiga pada minit ke-77 dengan teknik yang cantik apabila menimbang bola bagi mengatasi pertahanan lawan, sebelum dia melepaskan satu separa voli kaki kiri yang gagal dihalang penjaga gol lawan.

Safawi akui, teknik gol itu mengingatkannya dengan permainan sepak takraw, di mana dia pernah bermain sepak takraw di bangku sekolah.

"Dulu saya pernah main sepak takraw sampai tingkatan tiga. Bola itu dihantar Lee Tuck…asalnya saya ingat bola itu dia nak 'cross' ke belakang tapi bola itu datang kat saya.

"Saya terus tahan dengan kaki kanan dan bola itu naik ke atas, dan saya lambungkan bola untuk atasi pemain Solomon yang tinggi sebelum saya guna kaki kiri untuk buat voli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 5:20 PM