FANDI akui sejak awal musim lagi berdepan dengan masalah di bahagian serangan dan tengah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
FANDI akui sejak awal musim lagi berdepan dengan masalah di bahagian serangan dan tengah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mendedahkan skuad itu sedang berusaha mendapatkan barisan pemain baharu berkualiti, termasuk import pada jendela perpindahan kedua pemain.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, setakat ini, beliau belum memiliki pemain yang diinginkan terutama di bahagian serangan dan tengah.

"Kami sedang berusaha dan ketika ini belum dapat pemain yang diingini.

"Tempoh kurang dua minggu ini sebelum berdepan Selangor FC pada 9 Julai ini, saya harap dapat pemain yang diinginkan untuk memantapkan pasukan.

"Sebenarnya sejak awal musim lagi kita berdepan dengan masalah iaitu di bahagian serangan dan tengah termasuk berdepan masalah kecederaan.

"Ia termasuk kecederaan yang menimpa Lucas Silva hingga menyebabkan Kpah Sherman menjadi sandaran utama selaku penyerang.

"Oleh itu saya harap sebaik jendela perpindahan pemain akan menyaksikan pemain baharu bersama Sri Pahang," katanya.

Ketika ini, Sherman menjadi penyerang tunggal skuad Tok Gajah berikutan kecederaan yang dialami Silva.

Pada masa sama, kecederaan pemain di bahagian pertahanan antara Nor Azam Azih, Kevin Ingreso dan Baqiuddin Shamsudin turut memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Namun, di sebalik masalah yang dihadapi, Sri Pahang seharusnya berbangga kerana berada di kedudukan ketiga di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC selepas mengharungi 15 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 2:43 PM