JAMAL Nasir berkata AMD adalah sebahagian daripada program pembangunan dan persatuan negeri kena sama-sama bangunkan pemain. FOTO NSTP
JAMAL Nasir berkata AMD adalah sebahagian daripada program pembangunan dan persatuan negeri kena sama-sama bangunkan pemain. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain Kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Abd Ismail menyeru agar semua pihak terutamanya Persatuan Bolasepak Negeri (FA) untuk tidak mengabaikan pembangunan akar umbi.

Jelas pemain yang membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 itu, sikap lepas tangan segelintir pihak dengan mengabaikan pembangunan akar umbi harus dikikis bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat.

"Kita tak boleh nak harapkan NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) atau AMD (Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari) sahaja, semua pihak kena main peranan.

"FA terutamanya, mereka adalah elemen terpenting dalam membantu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dalam melahirkan pemain-pemain muda di peringkat negeri.

"Sayang kalau FA tidak bergerak dengan sebaiknya kerana saya percaya kita ada ramai pemain berbakat. AMD adalah sebahagian daripada program pembangunan, jadi FA kena sama-sama bangunkan pemain dan jangan letak saja di bahu kelab atau AMD saja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas prestasi skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja baru-baru ini.

Katanya, skuad 'kedua' yang di bawa Brad Maloney di saingan itu menunjukkan inisiatif FAM untuk mengenengahkan dan memberi peluang buat pemain muda yang jarang beraksi sebelum ini.

"Keputusan di Kemboja itu memang agak memalukan, tetapi macam saya katakan sebelum ini, skuad itu adalah pasukan kedua dan FAM beri peluang buat pemain untuk tunjukkan kemampuan mereka.

"Malah ada yang baru pertama kali dapat pengalaman main di peringkat antarabangsa. Jadi di sinilah yang saya maksudkan semua pihak kena beri tumpuan kepada pembangunan.

"Kita kena dedahkan pemain muda dengan perlawanan supaya akhirnya permainan mereka cepat matang sekali gus menambah pilihan kepada skuad negara suatu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:32 PM