SAFIRUL AZLI ABU BAKAR
SAFIRUL AZLI ABU BAKAR
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Kontraktor utama pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), MMN Bina harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas semua permasalahan dan kepincangan yang berlaku terutamanya membabitkan kemudahan latihan dan bangunan di akademi bernilai RM85 juta itu.

AMD yang baharu siap dibina pada penghujung Mac lalu difahamkan mengalami pelbagai masalah sejak ia mula menerima kemasukan kelompok pelatih pertama pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, menerusi perjanjian 'Defect Rectification', sebarang kerosakan dalam tempoh dua tahun bermula April 2018 akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kontraktor utama.

"Sebagai 'End User' NFDP hanya mampu menyuarakan keperluan yang semakin meruncing di AMD untuk tindakan pihak berwajib.

"Kami cuba sedaya upaya dengan segala kekurangan itu, dengan harapan keadaan akan bertambah baik. Ibu bapa banyak membantu kerana mereka amat faham, terima kasih.

"Walaubagaimanapun, keadaan padang di AMD terutamanya padang rumput adalah sangat baik. Kami tidak berkompromi tentang hal penyelenggaraan padang kerana ia keperluan latihan utama. Cuma ada satu padang tiruan bermasalah dikenalpasti selepas hujan yang amat lebat.

"Masalah keselesaan di asrama, pemakanan, logistik dan lain-lain amat payah untuk kami selesaikan kerana ia memerlukan intervensi pengurusan pihak atas. Kami tak terlalu bimbang tentang kerosakan kerana masih dalam tempoh 'defect'. Tetapi kontraktor perlu pantas (selesaikan masalah," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Menerusi kunjungan mengejut oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Gambang, petang semalam, beliau mengakui terkejut dan melahirkan kekecewaan selepas melihat permasalahan yang berlaku di akademi itu.

Selama dua jam di lokasi terbabit, Syed Saddiq mencatatkan hampir 740 kerosakan dan kecacatan yang dikenal pasti di AMD terutamanya berkaitan kemudahan pusat latihan seperti padang, gimnasium, asrama dan kualiti makanan yang  gagal menepati syarat ditetapkan.

"Perlu difahami juga bahawa kerosakan hanya dikenalpasti beberapa minggu ini disebabkan hujan yang amat lebat. Ada juga 'defect' yang dah diambil tindakan tetapi rosak semula, maka tindakan susulan harus diambil oleh kontraktor dan JKR (Jabatan Kerja Raya) sebagai pemantau.

"Ini secara tidak langsung akan mengganggu keselesaan kumpulan perintis di AMD," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:50 PM