TAN Cheng Hoe. -FOTO NSTP
TAN Cheng Hoe. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya lebih berhati-hati dan bersedia dengan taktikal bahaya Negeri Sembilan pada pertemuan suku akhir Piala FA, malam esok.

Cheng Hoe berkata, beraksi di gelanggang lawan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sudah pastinya akan memberikan lebih tekanan kepada barisan pemain dalam usaha mencipta keputusan positif.

Beliau berkata, situasi terbabit menuntut untuknya tampil dengan taktikal berbeza bagi menghadapi perlawanan kalah mati itu.

"Dalam saingan Piala FA mana-mana pasukan boleh kalahkan mana-mana pasukan, sebab itu kami perlu lebih bersedia.

"Kalau kita lihat pemain keletihan selepas aksi berdepan Kedah Darul Aman (kelmarin), jadi saya berharap selepas dua hari mereka sudah kembali pulih. Setiap pemain perlu tahu tanggungjawab dan tugas mereka kepada pasukan untuk kekalkan kecergasan," katanya.

Selangor yang mempamerkan prestasi lebih baik berbanding Negeri Sembilan di pentas Liga Super berada dalam motivasi terbaik selepas kejayaan menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 3-2 di gelanggang sendiri, kelmarin.

Semalam, ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan melaungkan amaran bahawa pasukannya akan merangka strategi berbeza untuk menentang Selangor selepas berdepan beberapa keputusan mengecewakan dalam saingan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 1:44 PM