Monte Carlo: Andy Murray (gambar) menafikan khabar angin yang menyebut tekanan selaku pemain nombor satu dunia menjejaskan persembahannya sejak akhir-akhir ini dan cakap-cakap itu semakin berleluasa apabila dia tewas kepada pemain Sepanyol Albert Ramos-Vinolas di Monte Carlo Masters.

Kekalahan Murray di tangan Ramos-Vinolas itu adalah yang keempat baginya dalam tempoh dua bulan sejak dia kembali bermain. Kecederaan siku menyaksikan dia tersingkir dari Terbuka Miami dan sebelum itu dia juga tewas pada aksi Piala Davis menentang Great Britain serta Perancis.

Satu-satunya kejohanan yang menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu bergelar juara ialah Kejohanan Dubai tetapi sebelum itu dia tewas di tangan Novak Djokovic di final Terbuka Qatar. Selain itu, dia juga tersingkir di kelompok 16 pemain terakhir Terbuka Australia dan di Indian Wells.

“Ia tahun yang sukar buat saya kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk kekal berada di atas. Tahun ini saya tidak banyak beraksi akibat pelbagai masalah,” kata Murray.

“Kini saya rasa semakin baik dan saya harap keputusan permainan saya akan meningkat. Menduduki tangga teratas tidak memberi kesan terhadap kecederaan atau kekalahan saya.

“Saya harap dapat kekal sihat dan percaya keputusan baik akan menyusul selepas itu.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:54 AM