HODAK jangka perlawanan dengan Perak FC, malam esok, tetap sukar walaupun prestasi lawan tidak menentu. FOTO ARKIB NSTP
HODAK jangka perlawanan dengan Perak FC, malam esok, tetap sukar walaupun prestasi lawan tidak menentu. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) diingatkan agar tidak memandang mudah ancaman Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam esok.

Jelas pengendali KL City, Bojan Hodak, biarpun prestasi skuad The Bos Gaurus tidak menentu ketika ini, ia bukan jaminan buat KL City untuk memungut mata penuh dalam aksi itu nanti.

"Saya menyeru pemain berwaspada kerana Perak pasti akan bangkit dan mempamerkan prestasi lebih baik.

"Saya jangkakan perlawanan yang sukar akan diharungi pemain nanti," katanya.

Beliau tidak bercadang untuk merombak taktikal pasukan, sebaliknya akan mengekalkan strategi sama seperti menang 2-0 ke atas Sabah FC, Rabu lalu.

"Apabila anda sudah mencatatkan kemenangan, tidak perlu ubah apa-apa dalam usaha meneruskan momentum dan saya tidak pasti sama ada kesebelasan kali ini adalah kombinasi terbaik untuk mencipta keputusan positif.

"Kami masih perlu melakukan analisis terhadap aksi Perak FC dan harus diakui kami bertuah apabila bertemu pasukan yang baru sahaja ditentang oleh JDT (Johor Darul Ta'zim)," katanya.

Ditanya mengenai kecederaan pemain, bekas jurulatih Kelantan dan JDT itu mengesahkan beberapa tonggak terpaksa diketepikan untuk aksi itu.

"Akram (Mahinan) masih belum pulih daripada kecederaan otot, meskipun tidak serius, saya jangka dia akan kembali bersama skuad utama selepas perlawanan menentang Perak nanti," katanya.

Skuad The City Boys kini menghuni tangga kesembilan liga dengan enam mata daripada enam aksi dilalui setakat ini, dengan kemenangan berdepan Sabah minggu lalu adalah kemenangan pertama musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 5:49 PM