CHENG Hoe mahu pemainnya waspada  situasi bola mati ketika menentang NSFC.
CHENG Hoe mahu pemainnya waspada situasi bola mati ketika menentang NSFC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya agar tidak melakukan terjahan sia-sia yang akhirnya menghadiahkan sepakan percuma mahupun sepakan sudut kepada Negeri Sembilan FC menjelang aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Jelas pengendali Selangor FC itu, situasi bola mati terbabit sememangnya 'makanan' pemain Negeri Sembilan terutamanya tonggak import lawan diketuai Herold Goulon dan Casagrande bijak mengambil kesempatan menerusi situasi itu.

Malah, kelincahan bekas pemain kebangsaan Mahali Jasuli juga merbahaya dan tidak boleh dibiarkan bergerak bebas.

"Kita perlu tangani dengan baik, kita tahu sepakan sudut dan sepakan percuma…pada tahun lepas banyak rekod gol dari sepakan sudut dan sepakan percuma dan sebab itu kita kena tanganinya.

"Itu sebablah kita perlu elakkan situasi itu. Malah, permainan secara terbuka juga perlu berhati-hati dengan pemain seperti Mahali Jasuli yang boleh bagi saingan dan kucar kacirkan pertahanan kita.

"Kita perlu kekalkan fokus kita dan sesiapa yang diturunkan perlu fokus dan cuba raih keputusan positif," katanya.

Selain itu, Cheng Hoe mengharapkan tiga mata dapat diraih pada pertemuan itu dan mengganggu aksi di depan penyokong sendiri sebagai satu kelebihan dan bukannya tekanan.

"Saya anggap (main di tempat sendiri) satu motivasi kerana ia beri keyakinan dan moral terbaik. Kita harap penyokong yang ramai dan penyokong sentiasa harapkan prestasi terbaik daripada pasukan. Kita harap penyokong dapat jadi pemain ke-12 untuk terus menyokong pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 4:01 PM