SHAHRUL Nizam tidak rela TFC kempunan buru tiga mata menentang KUFC, malam esok. FOTO TFC
SHAHRUL Nizam tidak rela TFC kempunan buru tiga mata menentang KUFC, malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu FC (TFC), Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni tidak rela kempunan lagi untuk meraih kemenangan kedua apabila melayan Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Jelas pemain kelahiran Kelantan berusia 25 tahun itu, bagi memastikan impian itu tercapai, dia dan rakan sepasukannya bakal turun bermati-matian untuk memburu tiga mata.

"Alhamdulillah persiapan dalam keadaan baik dan Insya-Allah bagi perlawanan menentang KUFC, kami akan beraksi sebagaimana yang dirancang jurulatih, Tomislav Steinbrukner.

"Kami tidak rela rebah di depan penyokong sendiri, selain mahu memastikan rekod di tempat sendiri baik tanpa sebarang kekalahan walaupun ketika ini prestasi sedikit menurun apabila hanya mengutip empat mata selepas lima perlawanan.

"Justeru kami akan turun dengan aksi terbaik selain melupakan kekalahan lalu," ujar bek tengah yang sudah tiga musim bersama TFC.

Pada masa sama, bekas pemain skuad Bawah 23 (B-23) Tahun negara itu turut mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan lawan yang hadir untuk melakar kemenangan pertama musim ini selepas menghuni di tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang kemenangan.

Katanya, KUFC mempunyai skuad yang bagus serta pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Syazwan Zainon, Latif Suhaimi serta pemain import berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 7:17 PM