AGIHAN pendapatan yang bakal dinikmati 14 pasukan Liga Super musim ini.
AGIHAN pendapatan yang bakal dinikmati 14 pasukan Liga Super musim ini.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Saingan Liga Super musim ini tampaknya bakal berlangsung lebih sengit dengan 14 pasukan dijangka berlumba-lumba untuk muncul juara apabila laba lumayan menanti pemenang dengan imbuhan RM2.4 juta.

Kaedah imbuhan itu buat julung kali diperkenalkan oleh penganjur Liga Malaysia, iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL)untuk meningkatkan saingan di antara pasukan terbabit.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan MFL, kesemua 14 pasukan menyertai Liga Super bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah 'distribution pool' yang diterima pasukan pada musim lalu.

Jelas MFL, agihan kali ini berasaskan kepada sistem merit mengikut kedudukan teratas sehingga pasukan yang berada di tempat ke-14 liga.

Berdasarkan agihan kali ini, semua 14 pasukan akan menerima agihan rata sebanyak RM500,000. Kemudian, bagi agihan merit pula menyaksikan tempat pertama meraih RM1.9 juta diikuti tempat kedua dengan RM1.4 juta, ketiga RM1 juta dan keempat RM700,000.

Ia disusuli tangga kelima dengan RM550,000, keenam RM500,000 dan tangga seterusnya ditolak 50,000 setiap tangga ke bawah hingga RM100,000 buat pasukan di kedudukan tercorot.

Nilai keseluruhan agihan dan hadiah kemenangan berjumlah RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta pada musim lalu.

"Bagi 2023, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga liga.

"MFL percaya pengagihan mengikut merit ini adalah langkah yang jelas bagi mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam liga mempunyai nilai ganjaran," kata kenyataan MFL itu.

Agihan musim ini akan membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.

Sementara itu, pemenang bagi saingan Piala MFL pula bakal meraih RM500,000 buat juara dan RM250,000 kepada naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 5:41 PM