BERGSON (kiri) diasak pemain KL City FC, Declan Lambert dalam aksi di Cheras.
BERGSON (kiri) diasak pemain KL City FC, Declan Lambert dalam aksi di Cheras.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain import sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Da Silva mengakui perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak terutama pada usia 32 tahun bukan satu perkara mudah.

Bagaimanapun, dengan pertolongan pasukan Harimau Selatan terutamanya kepada pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penyerang kelahiran Brazil itu berkata dirinya berjaya mencapai prestasi terbaik sepanjang karier sebagai pemain.

"Saya mempunyai perjalanan karier yang baik di Brazil namun saya harus akui berada di JDT sebenarnya lebih baik berbanding apa yang dilalui sebelum ini. Saya gembira untuk berada disini.

"Saya perlu berterima kasih kepada bos (Tunku Ismail) kerana membawa saya ke kelab ini. Dengan berada di sini karier saya bertambah lebih baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk rekod, bekas pemain Suwon Blue Wings itu berjaya mencetak 41 gol pada musim 2022 sekaligus melayakkannya untuk berada dalam kategori penjaring terbanyak sebaris Kylian Mbappe, Erling Haaland, German Cano dan Robert Lewandowski sebagai pemain dengan gol terbanyak.

Malah, dalam tempoh dua musim di JDT sejak datang secara pinjaman dari Fortaleza, Bergson berjaya memecahkan dua rekod termasuklah penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dan juga penjaring terbanyak dalam satu musim di Liga Super.

Bergson juga banyak berjasa kepada JDT apabila membantu pasukan muncul juara Liga Super buat kali ke-9 musim ini selain berjaya memenangi quadruple pada musim lepas.

Kini, khidmat pemain terbabit kembali ditagih untuk membantu JDT mengharungi musim 2023 yang lebih mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 5:30 PM