KLOPP buru trofi Liga Juara-Juara keduanya bersama Liverpool.
KLOPP buru trofi Liga Juara-Juara keduanya bersama Liverpool.
AFP

London:Jurgen Klopp menggesa Liverpool mengekalkan momentum kemenangan dan meneruskan kebangkitan mereka menjelang pertarungan membalas dendam ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

Skuad Klopp akhirnya menunjukkan peningkatan selepas berdepan prestasi mengecewakan yang hampir memusnahkan kempen musim ini.

Kemenangan berturut-turut Liverpool ke atas Evertond dan Newcastle mengembalikan semula harapan merampas slot empat teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool kini hanya enam mata di belakang pasukan di tangga keempat Magpies yang ditewaskan mereka 2-0 Sabtu lalu dengan The Reds mempunyai kelebihan beraksi kurang satu perlawanan.

Walaupun masih terlalu awal menganggap Klopp berjaya memulihkan semula prestasi Liverpool, mereka mendapat suntikan semangat apabila menerima kunjungan Real di Anfield.

Klopp mahu peningkatan prestasi pemainnya diteruskan dalam usaha Liverpool memenangi Liga Juara-Juara kali kedua ketika dikendalikan pengurus dari Jerman itu.

Gergasi Sepanyol itu menewaskan Liverpool pada final 2018, menyingkirkan mereka pada suku akhir 2021 dan menjuarai final musim lalu dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Vinicius Junior.

Liverpool tidak pernah menewaskan Real sejak kali terakhir mengatasi lawannya itu pada peringkat 16 terakhir 2009 dan aksi di Anfield esok peluang terbaik untuk mereka menamatkan rekod buruk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 9:19 PM