AZAM tekad mahu membantu pasukan kembali bangkit. FOTO Ihsan Pahang FC
AZAM tekad mahu membantu pasukan kembali bangkit. FOTO Ihsan Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah, Nor Azam Azih menamatkan teka-teki kedudukannya bersama Sri Pahang FC apabila menandatangani kontrak selama dua musim bersama skuad itu.

Pengesahan rasmi pemain kelahiran Maran, Pahang itu diumumkan menerusi hantaran Facebook rasmi kelab itu, hari ini.

"Tonggak tengah kelahiran Maran ini telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun untuk kekal bersama Sri Pahang.

"Bintang kesayangan penyokong yang juga pemain paling lama di dalam skuad tok Gajah ini tekad mahu membantu pasukan kembali bangkit seterusnya mengharungi musim 2023 yang lebih baik," katanya menerusi hantaran itu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi berhubung kedudukan pemain berusia 27 tahun itu yang dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.

Namun, pengesahan Sri Pahang bahawa Nor Azam kekal bersama skuad itu sudah pasti melegakan, khususnya peminat Tok Gajah.

Sementara itu, Sri Pahang turut mengesahkan bahawa Baqiuddin Shamsudin turut kekal bersama skuad itu.

"Kami berbesar hati mengumumkan Baqiuddin akan kekal menyarung jersi Sri Pahang setelah menandatangani kontrak baru selama dua tahun.

"Baqiuddin telah menjadi antara sandaran penting di posisi sayap sejak dua musim lalu dan dia teruja untuk terus berbakti dengan negeri kelahirannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 4:26 PM