RONALDO kecewa Portugal gagal di separuh akhir. -FOTO Reuters
RONALDO kecewa Portugal gagal di separuh akhir. -FOTO Reuters
AFP

Doha: Cristiano Ronaldo meninggalkan Piala Dunia dengan linangan air mata, berjalan keluar menelusuri terowong dengan impiannya untuk memenangi trofi itu tidak akan lagi menjadi kenyataan.

Maghribi mencatatkan kemenangan mengejut 1-0 di suku akhir mengatasi Portugal dengan kegembiraan pasukan Afrika Utara itu bertentangan dengan kesengsaraan Ronaldo.

Penyerang Portugal berusia 37 tahun itu tidak mungkin mempunyai peluang lagi untuk memenangi trofi berkenaan dan penyingkiran mereka dari Piala Dunia sesuatu yang amat menyakitkan apabila dia memulakan permainan sebagai pemain gantian.

Namun dengan keputusan yang lain Ronaldo mungkin boleh meraikan kejayaan menyamai rekod penampilan antarabangsa sebagai pemain dengan 196 penampilan bersama Portugal.

Sebaik saja wisel penamat dibunyikan, Ronaldo meninggalkan padang menuju ke terowong dengan air mata yang mengalir, tidak mengendahkan pemain Maghribi yang bergegas kepada peminat meraikan kejayaan mereka.

"Jika anda mengambil kira dua orang yang paling kecewa mungkin Cristiano Ronaldo dan saya sendiri," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

"Sudah tentu kami kecewa, sudah tentu ia memberi kesan kepada kami, ia sebahagian daripada permainan, itu sebahagian daripada tugas."

Ronaldo memenangi Euro 2016 bersama negaranya walaupun dibawa keluar kerana kecederaan semasa mereka menang ke atas Perancis pada perlawanan akhir dan menyaksikan dari tepi padang ketika Eder menjadi wira negaranya.

Piala Dunia kekal menjadi impian buat Ronaldo dan negaranya selepas mereka gagal menentang serangan Maghribi.

Dalam keputusan mengejutkan itu Ronaldo dimasukkan dari bangku simpanan ketika menentang Switzerland yang menyaksikan mereka menang 6-1 pada pusingan 16 terakhir dan Santos mengekalkan rancangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 7:53 AM