BERGSON ledak tiga gol malam tadi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
BERGSON ledak tiga gol malam tadi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva menganggap kerjasama berpasukan membolehkannya mencipta hatrik bagi membantu skuad Harimau Selatan membelasah Guangzhou FC 5-0 pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pemain kelahiran Brazil itu mengakui teruja apabila mencipta tiga gol, malah raut wajahnya menzahirkan kelegaaan selepas aksi pada musim lalu di Bangkok, Thailand, dia gagal menghasilkan jarigan sepanjang saingan kumpulan.

"Saya diamanahkan untuk beraksi di posisi serangan dan tugas selaku penyerang adalah memburu gol. Misi membantu JDT meraih kemenangan membuahkan hasil dan saya amat berpuas hati.

"Pada musim lalu dalam saingan ACL mungkin nasib tidak menyebelahi saya walaupun beraksi baik menentang dua kelab dari Jepun dan kelab dari Thailand.

"Lagipun ia aksi pertama di ACL dan sudah tentu ada tekanan tapi saya berjaya menghakis apa jua perasaan negatif dan memberi sepenuh komitmen pada aksi menentang kelab dari China.

"Apa yang penting adalah kerjasama berpasukan yang memboiehkan saya menjaringkan hatrik kerana bukan mudah untuk seorang pemain jaring tiga gol dalam satu perlawanan jika tanpa sokongan daripada rakan sepasukan," katanya

Pada perlawanan itu, Bergson berjaya menjaringkan gol seawal ke-10 disusuli minit ke-27 dan pada minit ke-55 selain gol sendiri penjaga gol Guangzhou FC, He Lipan pada minit ke-13 berpunca daripada bola rembatan deras Fernando Forestieri.

Pemain gantian, Ramadhan Saifullah menjaringkan gol pada minit ke-81 untuk melegkapkan kemenangan skuad Harimau Selatan.

Ditanya mengenai prestasi terbaiknya bakal menjadi tumpuan pemain pertahanan Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale, dia tampak enggan memikirkan apa yang bakal dihadapi sebaliknya mahu terus fokus melakukan persiapan menghadapi aksi menentang kelab dari Republik Korea, Isnin ini.

"Saya tetap akan memainkan peranan selaku penyerang walaupun tahu akan menjadi perhatian oleh dua pasukan dari Jepun dan Republik Korea itu tapi saya enggan terlalu memikirkannya," kata Bergson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:43 PM