KLOPP anggap penjualan Liverpool perkara biasa. FOTO Reuters
KLOPP anggap penjualan Liverpool perkara biasa. FOTO Reuters
AFP

London: Jurgen Klopp menegaskan beliau tidak risau cakap-cakap mengenai pemilik Liverpool ingin menjual kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Fenway Sports Group, konsortium berpangkalan di Boston yang memiliki Liverpool, baru-baru ini mengakui mereka sedang melihat potensi pelaburan baharu, mencetuskan laporan bahawa mereka bersedia untuk melepaskan kelab EPL itu.

The Boston Globe, akhbar milik pemilik utama Liverpool, John W Henry, melaporkan presiden FSG Mike Gordon - penghubung utama antara kumpulan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan Anfield memindahkan beberapa tanggungjawab kerjanya kepada ketua eksekutif Reds, Billy Hogan.

Klopp, yang digantung satu perlawanan selepas Persatuan Bolasepak (FA) England merayu keputusan yang hanya mendendanya, sudah pun menjawab khabar angin pengambilalihan itu dengan menekankan komitmennya untuk memenuhi kontrak sehingga 2026.

Pengendali kelahiran Jerman itu sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan pemilik tetapi beliau tidak melihat sebab untuk bimbang dengan apa yang berlaku seterusnya di peringkat bilik lembaga.

"Dalam struktur yang kami ada, kami jelas dapat membelanjakan wang, tetapi kami sentiasa perlu melihat dan berkata 'Apakah yang kami peroleh?'.

"Dua perpindahan terbesar yang kami lakukan pada masa lalu dengan Ali (Alisson Becker) dan Virg (Virgil van Dijk), kami semua tahu bagaimana ia berlaku, kami mendapat sedikit wang dari Barcelona (selepas menjual Philippe Coutinho) dan membelanjakannya dengan bijak.

"Tiada apa-apa yang menjadi lebih murah, dan bukan sahaja kerana kadar inflasi. Kadang-kadang anda perlu berbelanja.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi saya positif mengenainya. Jika pada akhirnya ia tidak positif, maka saya boleh mula bimbang, tetapi saya fikir semuanya akan baik-baik saja," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:52 AM