WERNER duduk kesakitan ketika menentang Donetsk.
WERNER duduk kesakitan ketika menentang Donetsk.
AFP

Munich, Jerman: Penyerang Jerman, Timo Werner terpaksa melupakan aksi Piala Dunia di Qatar selepas mengalami kecederaan buku lali, umum kelabnya RB Leipzig awal pagi tadi.

Werner terpaksa dikeluarkan pada awal babak pertama ketika Leipzig menewaskan Shakhtar Donetsk 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara semalam.

"Pemeriksaan hari ini di Leipzig menunjukkan ligamen di buku lali kirinya terkoyak. Oleh itu dia terpaksa melupakan semua aksi untuk baki musim 2022," menurut kelab Bundesliga itu dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan 24 gol dalam 55 aksi antarabangsa bersama Jerman dan meledak lima kali ketika pusingan kelayakan.

"Berita ini mendukacitakan," kata jurulatih Jerman, Hansi Flick. "Saya meminta maaf kepada Timo secara peribadi kerana dia terlepas Piala Dunia yang sangat diidamkannya.

"Ketiadaan Timo kerugian besar buat pasukan. Kami perlukan penyerang berwibawa dengan rekod jaringan baik di peringkat antarbangsa dan kami terasa tanpanya.

"Kami berharap Timo dapat pulih secepat mungkin."

Werner berpindah semula ke Leipzig dari Chelsea pada penghujung musim lalu dan kini menyumbang sembilan gol dalam semua kejohanan.

Jerman memulakan misi menyamai rekod lima gelaran Piala Dunia dengan menentang Jepun pada 23 November di Al Rayyan sebelum menentang Sepanyol dan Costa Rica dalam Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 8:36 AM