SALAH pamer aksi cemerlang ledak hatrik. FOTO EPA
SALAH pamer aksi cemerlang ledak hatrik. FOTO EPA
AFP

Glasgow: Jurgen Klopp berkata semangat Liverpool meningkat selepas Mohamed Salah masuk dari bangku simpanan untuk meledak hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara ketika menewaskan Rangers 7-1 di Ibrox, awal pagi tadi.

The Reds hanya menang empat daripada 11 perlawanan pertama musim ini dan ketinggalan apabila Scott Arfield meletakkan gergasi Glasgow itu di depan seawal minit ke-17.

Tetapi Rangers yang kembali beraksi di Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun, 'disekolahkan' oleh Liverpool selepas itu terutama pada separuh masa kedua.

Gergasi Glasgow itu kekal gagal mengutip mata dan dibolosi 16 gol dalam empat perlawanan.

Dua gol Roberto Firmino pada setiap babak mengubah permainan sebelum pemain Brazil itu memberi umpanan kepada Darwin Nunez yang menjaringkan gol ketiga minit ke-66.

Klopp meletakkan Salah, Thiago Alcantara dan Diogo Jota di bangku simpanan untuk persediaan menentang Manchester City di saingan Liga Perdana, Ahad ini.

Tetapi mereka dibawa masuk pada suku terakhir dan Salah tidak melepaskan peluang itu apabila meledak tiga gol dalam masa enam minit dan 12 saat untuk mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Bafetimbi Gomis ketika Lyon meraih kemenangan 7-1 ke atas Dinamo Zagreb pada 2011.

"Ia pasti mengubah mood, dan itu bagus. Kita semua tahu siapa yang akan ditemui pada Ahad ini. Ia pasti berbeza.

"Apabila kami beraksi dengan potensi sebenar, kami dapat mempamer aksi terbaik sebagai sebuah pasukan. Inilah yang kami tunjukkan hari ini," katanya.

Harvey Elliott melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool dengan menyumbat gol ketujuh minit ke-87.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 6:37 AM