Mora (kiri) menerima Anugerah Kehormat Mexico daripada Carlos Felix Corona. FOTO Ihsan JOHOR Southern Tigers
Mora (kiri) menerima Anugerah Kehormat Mexico daripada Carlos Felix Corona. FOTO Ihsan JOHOR Southern Tigers

Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menjadi rakyat Mexico pertama di Malaysia menerima Anugerah Kehormat Mexico.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf pencapaian beliau bersama JDT dan mempromosi imej baik Mexico.

Anugerah ini disampaikan menerusi Kementerian Hubungan Luar Mexico menerusi Institute of Mexicans Abroad dan Kedutaan Mexico sebagai tanda pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang rakyat Mexico yang tinggal di luar negara.

Majlis penyerahan anugerah ini turut dihadiri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Duta Besar Mexico ke Malaysia, H.E Carlos Felix Corona, pegawai JDT serta keluarga dan rakan-rakan Mora.

Mora, warga Mexico pertama yang menjadi jurulatih kelab profesional di Malaysia, menyertai JDT pada tahun 2016 sebagai Ketua Jurulatih JDT II sebelum dinaikkan pangkat ke skuad senior.

Ketika bertugas sebagai pengendali kelab itu dia membantu JDT memenangi tiga kejuaraan Liga Super dan tiga lagi piala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:28 PM