Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Skuad Perak FC masih berpeluang untuk beraksi di dalam saingan Piala Malaysia tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin.

Bagaimanapun, katanya, keputusan pasukan mana yang akan mara ke Piala Malaysia belum dimuktamadkan dan hanya akan diketahui Rabu hadapan.

"Tidak tahu lagi (bersaing dalam Piala Malaysia), kami belum mendapat apa-apa berita. Kalau nak tahu senarai pasukan yang akan bersaing di Piala Malaysia ialah pada hari Rabu minggu hadapan," kata Bobie Farid dalam sesi temubual bersama pegawai pengurusan Perak FC di Stadium Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan kelayakan dan kesediaan Perak FC menjelang saingan Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Bobie Farid berkata, peluang itu masih belum tertutup kerana ada dua pasukan yang diberi amaran oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

"Jika mereka tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi, maka pasukan yang akan masuk Piala Malaysia adalah Pulau Pinang dan Perak.

"Sebagai majikan yang mempunyai pemain yang dibayar gaji dan kontrak yang ada kita kena yakin. Takkan kita nak cakap kita tak yakin pula, ia akan menyebabkan moral dan semangat pemain jatuh.

"Kebanyakan pemain kita kontrak sampai hujung tahun ini sahaja dan tidak ramai pemain yang ada kontrak sampai tahun hadapan. Jadi, pemilihan pemain ini atas merit, penilaian daripada ketua jurulatih dan sebagainya.

"Kebiasaannya selepas habis keseluruhan perlawanan kita akan buat analisis siapa pemain yang perlu dikekalkan dengan persetujuan ketua jurulatih kita yang baharu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata, pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan masalah tunggakan gaji tidak akan berulang.

Sebelum ini, pasukan Projek FAM-MSN melakar kemenangan pertama dalam kempen Liga Perdana dengan menewaskan Perak FC 3-1 di Stadium Perak yang menyebabkan peluang Perak ke Piala Malaysia musim ini tertutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 9:14 PM
BOBIE Farid  (dua dari kiri) bercakap pada sidang media khas bersama pegawai pengurusan Perak FC di Stadium Perak. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari
BOBIE Farid (dua dari kiri) bercakap pada sidang media khas bersama pegawai pengurusan Perak FC di Stadium Perak. - Foto NSTP/Balqis Jazimah Zahari