TUCHEL disingkir Chelsea selepas gagal meraih keputusan positif.
TUCHEL disingkir Chelsea selepas gagal meraih keputusan positif.
Reuters

London: Thomas Tuchel berkata, dia sangat kecewa selepas dipecat daripada jawatan pengurus Chelsea susulan permulaan hambar awal musim.

Pengendali berusia 49 tahun dari Jerman itu disingkir pada Rabu lalu selepas pasukannya tewas mengejut 0-1 di Dinamo Zagreb dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

"Ini antara kenyataan paling sukar pernah saya tulis dan saya harap tidak akan lakukan lagi pada masa akan datang. Saya sangat kecewa masa saya di Chelsea sudah pun berakhir," kata Tuchel di Twitternya.

"Saya berasakan seperti di tempat sendiri ketika di Chelsea sama ada secara profesional atau personal."

Tuchel mencipta impak segera selepas menggantikan Frank Lampard pada Januari 2021, melonjakkan prestasi pasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan membawa mereka ke final Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka menewaskan Manchester City.

"Kebanggaan dan kegembiraan ketika membantu pasukan memenangi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat," kata Tuchel.

"Saya bangga menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini dan memori 19 bulan terakhir menjadi detik istimewa di hati saya."

Khamis lalu Chelsea mengumumkan pelantikan pengurus Brighton & Hove Albion, Graham Potter sebagai pengendali baharu menggantikan Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 8:11 AM