PENJAGA gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dibenarkan keluar dari hospital, petang semalam dan kini berehat di rumah selepas perlanggaran dengan pemain Melaka United, Sabtu lalu. FOTO GHAZALI KORI
PENJAGA gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dibenarkan keluar dari hospital, petang semalam dan kini berehat di rumah selepas perlanggaran dengan pemain Melaka United, Sabtu lalu. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim untuk beraksi pada pentas final Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini kembali bersinar selepas dia hampir pulih daripada kecederaan dialami.

Penjaga gol skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu (B-23) menjelaskan semangatnya kini berkobar-kobar untuk beraksi dalam perlawanan akhir kerana itu adalah impiannya sejak menyarung jersi skuad Penyu.

Terdahulu ketika pasukannya membelasah Melaka United FC (MUFC) 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Sabtu lalu, penjaga gol itu tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan pemain lawan, Harith Naem Jaineh pada minit ke-46 ketika dia cuba menyelamatkan bola dalam kotak penalti sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Berikutan itu, impian penjaga gol kelahiran Setiu berusia 21 tahun itu untuk beraksi dalam pentas final itu hampir musnah selepas dia terlantar di hospital.

Bagaimanapun, semangat juang pemain lebih mesra dipanggil 'Abey' untuk beraksi pada pentas final itu kuat selepas dia dibenarkan keluar dari HSNZ, petang semalam.

"Ketika pertembungan itu, saya tidak pasti bahagian mana yang kena sebab saya tak ingat apa-apa yang berlaku, saya hanya tahu selepas melihat video perlawanan itu, mungkin saya kena pada bahagian kepala dan leher.

"Ketika sedar daripada pengsan, saya tanya jurulatih penjaga gol, Yazid Yassin yang berada bersama jurulatih, Nafuzi Zain dan penolong pengurus Zulfadli Rozi sama ada pasukan menang atau tewas ketika menentang Melaka," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kini keadaannya sudah semakin beransur baik dan tiada apa-apa yang begitu serius, cuma ada berasa pening kesan perlanggaran itu.

"Insya-Allah pada masa terdekat, saya akan cuba untuk menjalani latihan bersama rakan sepasukan, paling awal pada petang esok jika semuanya berada dalam keadaan baik.

"Tapi jika masih terasa pening atau terasa nak pitam, itu yang saya tidak boleh elak, tapi Insya-Allah saya akan cuba dulu yang sehabis baik untuk beraksi di final.

"Doa daripada peminat dipohon agar saya kembali pulih sepenuhnya kerana sudah pasti impian buat semua pemain untuk merasai beraksi pada pentas final lebih-lebih lagi kali pertama bagi saya," katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya sekiranya tidak dapat beraksi pada pentas final itu, anak pemandu bot pelancongan di Pulau Redang itu akui tetap reda walaupun pasti timbul perasaan terkilan.

"Semua pemain idam untuk beraksi di pentas final, tapi jika tidak dapat beraksi saya harap rakan dapat bermain bermati-matian dengan arahan jurulatih bagi memastikan kita mampu julang trofi itu," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, Rahadiazli kini sedang berehat di rumahnya dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Sabtu lalu Rahadiazli dimasukkan ke wad 2 EF HSNZ dan selepas rawatan dia sedar sepenuhnya walaupun masih ada terasa sakit pada bahagian kepala dan perlu dipantau pihak hospital.

"Semalam sekitar 5 petang, penjaga gol itu dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di rumah, dia dijangka akan memulakan latihan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 6:32 PM