Izham Tarmizi (kiri) bersama barisan kejurulatihan dan pemain JDT II gembira selepas menewaskan TFC II 3-0. FOTO Ihsan JDT
Izham Tarmizi (kiri) bersama barisan kejurulatihan dan pemain JDT II gembira selepas menewaskan TFC II 3-0. FOTO Ihsan JDT
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Izham Tarmizi Roslan tampak gembira selepas kejuaraan Liga Perdana semakin berada di genggaman selepas membantu pasukan itu menjaga gawang gol bagi memastikan kemenangan 3-0 mengatasi Terengganu FC II (TFC II) pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), semalam.

Dia juga berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi kebenaran buat dirinya dan beberapa pemain lain beraksi bersama JDT II.

"Terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang banyak beri motivasi kepada kami dan menaikkan semangat walaupun kami dari JDT tapi turun ke JDT II tapi TMJ memberi kata semangat.

"Hasilnya kami semakin hampir untuk dinobatkan selaku juara Liga Perdana dan hanya perlu keputusan seri sahaja apabila berdepan Selangor FC II pada aksi terakhir hujung September.

"Saya juga mengakui apabila beraksi bersama JDT II maka dapat meraih minit permainan yang mencukupi sekali gus beri lebih keyakinan untuk mempamerkan aksi terbaik malah kelebihan itu jelas membantu JDT II menewaskan TFC II," katanya.

Izham Tarmizi juga menyifatkan kelibat pemain muda seperti Daryl Sham KK George, Adam Farhan Mohd Faizal dan Muhammad Umar Hakeem Suhar Rezwan bakal menjadi aset buat skuad utama selepas mempamerkan aksi berkualiti dan mampu menempatkan diri dalam skuad JDT.

Pada aksi itu, Daryl Sham membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh namun JDT II terpaksa menanti sehingga penghujung perlawanan apabila Umar Hakeem mencipta gol pada minit ke-81 sebelum Moussa Sidibe menoktahkan kemenangan buat JDT II ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan bagi memastikan kemenangan 3-0 mengatasi TFC II.

Sementara itu pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali menegaskan pemainnya hilang fokus menjadi punca utama tewas kepad JDT II sekali gus melenyapkan impian untuk memburu kejuaraan liga walaupun pada babak pertama corak permainan yang ditampilkan tampak tersusun dan kerap beri tekanan kepada pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 12:50 PM