Pemain JDT II, Moussa Sidibe cuba melepasi kawalan pemain KUFC pada aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Pemain JDT II, Moussa Sidibe cuba melepasi kawalan pemain KUFC pada aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Pasir Gudang: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kembali mendapat sentuhan kemenangan selepas menewaskan Kelantan United FC ( KUFC) 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Selepas tewas 1-2 kepada Kelantan FC pada 5 Mac lalu, skuad Raul Mariano tampak ingin bangkit untuk memburu kemenangan pertama dan jaringan Daryl Sham George pada babak pertama dan gol Fernando Rodriguez di babak kedua menjadi penyelamat skuad Merah Biru.

Aksi JDT II dipindahkan ke Pasir Gudang bagi memberi laluan kerja-kerja baik pulih Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk persiapan saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL), April ini selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dipilih selaku tuan rumah.

Sepanjang 15 minit babak pertama, aksi kedua-dua pasukan seimbang apabila masing-masing berusaha untuk memburu gol pertama malah pada minit ke-18 KUFC hampir mencipta jaringan selepas bola rembatan Mohd Zulkifli Zakaria diselamatkan penjaga gol JDT II, Izham Tarmizi Roslan.

JDT II yang diperkuatkan lapan pemain JDT namun persembahan yang dipamerkan tampak kurang mantap apabila gagal menguasai permainan sebaliknya, anak didik Syamsul Saad lebih kerap memberi tekanan terhadap benteng tuan rumah.

Selepas kerap ditekan, akhirnya tuan rumah mengejutkan pelawat pada minit ke-35 berpunca daripada bola hantaran lintang Ahmad Hazwan Bakiri di posisi sayap kiri membolehkan Daryl Sham George yang tidak di kawal menanduk bola masuk menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Bersambung babak kedua, skuad Merah Biru kembali dengan rentak permainan tersusun dan mula mengasak ke kubu skuad Kijang Hijau namun ketumpulan barisan serangan yang diterajui Rodrigeuz gagal menambah jaringan.

Namun Rodriguez bagaikan melepas geram apabila menjaringkan gol pada minit ke-74 berpunca daripada bola sepakan sudut Bienvenido Maranon yang gagal tampan kemas Mohammad Fikri meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 10:38 PM