PEMAIN pertahanan, Marc Cucurella menyertai Chelsea dari Brighton. FOTO REUTERS
PEMAIN pertahanan, Marc Cucurella menyertai Chelsea dari Brighton. FOTO REUTERS
Reuters

London: Marc Cucurella mungkin boleh terbaring kesakitan di atas padang di Stamford Bridge selepas rambutnya ditarik pemain Tottenham Hotspur, Cristian Romero hujung minggu lalu, tetapi pemain pertahanan Chelsea itu tidak bercadang menggunting rambutnya.

Rambut panjang Cucurella ditarik oleh Romero sebelum Harry Kane menyamakan kedudukan 2-2 pada masa kecederaan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, yang menyebabkan Thomas Tuchel berang dan menyatakan pengadil, Anthony Taylor tidak sepatutnya mengadili perlawanan Chelsea pada masa depan.

Jika ditanya sama ada dia akan menggunting rambut untuk mengelak kejadian sama berulang, Cucurella berkata: "Tidak, tidak, tidak mungkin! Ini adalah gaya saya."

Bagaimanapun, Cucurella berkata, Romero sepatutnya dilayangkan kad merah kerana menarik rambutnya.

"Bagi saya, ia adalah jelas dan rakaman video menunjukkan benda sma, ada masanya pengadil membuat keputusan bagus dan ada masanya tidak, tetapi ini bukan masalah saya. Saya fokus kepada perlawanan.

"Saya lihat mereka memeriksa video untuk mengesahkan kad merah dan bagi saya, ia memang jelas, tetapi ini adalah bola sepak. Dalam perlawanan ini, ia adalah satu kesilapan dan mungkin dalam perlawanan lain, pengadil membuat keputusan yang betul.

"Saya tiada masalah dengannya (Romero), ia hanya satu tindakan dalam perlawanan. Tetapi mungkin ia adalah tindakan yang penting kerana boleh mengubah keputusan perlawanan."

Cucurella menyertai Chelsea dengan yuran AS$74.67 juta (RM333.59 juta) dari Brighton & Hove Albion dan pemain Sepanyol itu mengakui ia adalah jumlah wang yang banyak serta tanggungjawab besar buatnya.

"Saya gembira di sini," katanya. "(Pemilik Chelsea) Todd (Boehly) dan pihak atasan berminat supaya saya datang ke sini. Saya perlu bekerja keras, menyesuaikan diri dengan pasukan dan ada keinginan untuk menang serta bermain dengan baik untuk kelab."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:47 AM