LEWANDOWSKI (kiri) bakal diturunkan pada perlawanan pertama Barcelona menentang Vallecano. -FOTO EPA
LEWANDOWSKI (kiri) bakal diturunkan pada perlawanan pertama Barcelona menentang Vallecano. -FOTO EPA
AFP

Barcelona: Barcelona akhirnya berjaya mendaftarkan pemain baharu Robert Lewandowski, Franck Kessie, Andreas Christensen dan Raphinha semalam tepat pada masanya untuk perlawanan pembukaan La Liga menentang Vallecano awal pagi esok.

Bagaimanapun pertahanan Perancis Jules Kounde masih gagal didaftarkan dengan La Liga.

Barcelona membelanjakan €153 juta (RM697.86 juta) untuk yuran perpindahan saja bagi mengukuhkan skuad mereka dengan Lewandowski dari Bayern Munich antara pemain yang paling mencuri tumpuan.

Perjanjian itu dibuat setahun selepas Barca terpaksa melepaskan Lionel Messi ke PSG ketika gergasi Catalan itu bekerja keras untuk melepaskan hutan menimbun yang dilaporkan sebanyak €1.35 bilion (RM6.16 bilion).

Berdepan sekatan kewangan La Liga, Barcelona perlu mendapatkan wang dengan cepat bagi mencari muka baharu dan paling penting, mendaftarkan pemain baharu.

Semalam, Barcelona menjual sebahagian daripada produksi media mereka "Barca Studios" dengan nilai 100 juta euro (RM456.12 juta) kepada Orpheus Media.

Menurut Marca, Kounde hanya boleh didaftarkan jika kelab itu dapat mengurangkan bebanan membayar gaji.

"Jadi dalam beberapa hari lagi, pemain yang berada dalam skuad perlu meninggalkan kelab," kata akhbar itu.

Kounde menandatangani perjanjian lima tahun pada penghujung Julai selepas meninggalkan Sevilla.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 8:28 AM