SUASANA di luar  Stadium  Sultan Muhammad ke IV selepas tamat perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC.
SUASANA di luar Stadium Sultan Muhammad ke IV selepas tamat perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Insiden kekecohan penyokong secara asasnya adalah tanggungjawab pasukan tuan rumah biarpun ia mungkin berpunca daripada pihak luar.

Peraturan itu sememangnya jelas dalam manual mana-mana pertandingan sukan termasuk bola sepak di mana isu keselamatan penyokong dan pasukan di bawah tanggungjawab tuan rumah.

Perkara itu dijelaskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah yang melihat Kelantan FC kemungkinan bakal berdepan hukuman berat seandainya didapati gagal menyediakan kawalan keselamatan optimum kepada penyokong dan pasukan.

Katanya, insiden kekecohan penyokong Kelantan dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV pada Rabu lalu boleh menyebabkan skuad The Red Warriors dikenakan hukuman beraksi tanpa penyokong.

"Bila main di sesuatu venue, ia tanggungjawab tuan rumah untuk sediakan kawalan keselamatan terbaik. Tak kira sama ia dicetuskan pihak luar atau penyokong lawan, tetapi peraturan diguna pakai atau asasnya tuan rumah yang perlu bertanggungjawab.

"Kalau ikut hukuman yang boleh diberikan, mungkin Kelantan akan bermain tanpa penyokong buat tempoh tertentu," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ditanya jika kekecohan itu dimulakan penyokong pelawat, Kamarudin menegaskan FAM boleh mempertimbangkan untuk meringankan hukuman.

"Macam saya kata tadi, asasnya tetap ditanggung pihak tuan rumah. Tapi kalau boleh dibuktikan ia tercetus oleh penyokong lawan, mungkin FAM boleh guna budi bicara untuk beri amaran agar ia tidak berulang dan ketatkan kawalan selepas ini," katanya.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, FAM mengakui tidak akan berdiam diri dan perkara berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Disipilin badan induk itu bagi meneliti pelbagai aspek termasuk soal keselamatan dan penguatkuasaan di venue terbabit.

Dalam kejadian itu, balingan mercun dan batu mencemari perlawanan yang menyaksikan Perak menang 2-1 ke atas Kelantan.

Susulan insiden itu, penyokong Perak terpaksa memasuki tengah padang bagi menyelamatkan diri daripada tindakan ganas penyokong tuan rumah yang difahamkan berang dengan tindakan provokasi dicetuskan penyokong pelawat.

Malah, turut viral di laman sosial, bas penyokong dan pasukan Perak dibaling batu hingga mengakibatkan tingkap bas retak dan pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 3:55 PM