STERLING (kanan) tidak mahu hanya memanaskan bangku simpanan. FOTO AP
STERLING (kanan) tidak mahu hanya memanaskan bangku simpanan. FOTO AP
AFP

London: Raheem Sterling mendedahkan keputusan berhijrah ke Chelsea tercetus selepas rasa kecewa dengan masa permainan yang terhad ketika di Manchester City.

Sterling meraih empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ia di antara 10 trofi utama diraihnya di kelab berkenaan.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa England itu agak terhad untuk beraksi sejak dua musim kebelakangan ini berikutan kemunculan Phil Foden dan pemain yang dibeli sebanyak £100 juta (RM541 juta), Jack Grealish.

"Saya hanya merasakan masa untuk beraksi di City semakin terhad atas sebab yang berbeza.

"Saya tidak boleh membuang masa. Jadi saya perlu mengekalkan tahap yang sama dan mencari cabaran baharu.

"Sejak usia 17 tahun saya menjadi pemain kesebelasan utama yang tetap, jadi untuk mencapai masa kemuncak dalam kerjaya saya, tidak bermain secara kerap adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima," kata Sterling.

Sterling menjaringkan 131 gol dalam 337 penampilan untuk City selepas tujuh tahun di kelab itu.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel ingin memanfaatkan sebaik mungkin kebolehan yang ada pada Sterling terutama dari segi ancaman ke pintu gol lawan kerana The Blues kelihatan bersedia untuk bermain tanpa penyerang semula jadi musim ini.

"Beliau (Tuchel) berkata saya sentiasa memberi ancaman dari bahagian belakang, tidak selalu menunggu bola sampai ke kaki.

"Tetapi paling penting ialah bagaimana saya masuk ke dalam kotak penalti dan dengan pemain pertahanan yang kami ada di sini, dia berkata itulah satu perkara yang dia mahu lihat lebih banyak lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 9:12 AM