PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen menyertai Manchester United secara perpindahan percuma. FOTO Agensi
PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen menyertai Manchester United secara perpindahan percuma. FOTO Agensi
Reuters

Manchester: Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen berkata, visi pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag mempengaruhi keputusannya untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu secara perpindahan percuma, bulan lalu.

Eriksen yang memerlukan rawatan kecemasan di padang selepas mengalami serangan jantung yang nyaris meragut nyawanya di Kejohanan Eropah (Euro 2020) menentang Finland, Jun tahun lalu, berhijrah selepas kembali ke liga utama dengan menyertai Brentford, Januari lalu.

Sebelum ini, dia berlatih bersama pasukan simpanan Ajax Amsterdam yang pernah dibimbing Ten Hag ketika mahu memulihkan tahap kecergasannya dan berkata, bercakap dengan pengendali Belanda itu membantunya membuat keputusan.

"Saya adalah lelaki yang mahu bermain bola sepak dan saya fikir, berdasarkan idea pengurus dan perbincangan dengannya, saya dapat membayangkan bermain bola sepak di Manchester," kata Eriksen dalam temu bual di laman web kelab itu.

"Pada masa sama, ini adalah kelab besar, walaupun bukan paling besar. Jika anda sebut nama kelab ini di mana-mana, ramai orang tahun lokasi dan nama kelab ini.

"Ia memiliki sejarah dan tradisi besar dalam bola sepak dan perasaan sangat bagus dapat menjadi sebahagian daripada mereka."

United melalui jelajah pramusim yang cemerlang di bawah bimbingan Ten Hag dan akan memulakan kempen musim baharu EPL dengan melayan kunjungan Brighton & Hove Albion pada 7 Ogos.

Eriksen berharap gaya permainan menyerang dimilikinya akan secocok dengan idea pengurus berkenaan.

"Diharapkan ia akan menjadi sesuatu yang seiring dengan bagus dan positif. Jadi, sudah tentu gaya permainan bola sepaknya sesuai dengan saya," kata Eriksen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 8:37 AM