RUNDINGAN membawa Frenkie de Jong dari Barcelona ke Manchester United dikatakan semakin hampir dipersetujui. FOTO AFP
RUNDINGAN membawa Frenkie de Jong dari Barcelona ke Manchester United dikatakan semakin hampir dipersetujui. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Manchester United dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan dengan Barcelona untuk menandatangani pemain tengah, Frenkie de Jong.

Bekas bintang Ajax itu adalah antara sasaran utama perpindahan United pada musim panas ini apabila pengurus baharu, Erik ten Hag mahu bergabung semula dengan bekas pemainnya itu di Old Trafford.

Ketika kedua-dua kelab melakukan rundingan bernilai lebih £69 juta (RM372.52 juta), laporan di Sepanyol mendakwa United yakin mereka akan menandatangani pemain pertama, sebelum hujung bulan.

Pemain tengah Barcelona itu masih perlu memberikan persetujuan dan rundingan dengan United dan kelab itu yakin semuanya akan diselesaikan sebelum 30 Jun.

Laporan menyatakan tawaran the Red Devils sebanyak £56 juta (RM302.33 juta) ke atas pemain antarabangsa Belanda itu ditolak pada awal minggu.

Bagaimanapun, rundingan diteruskan dan United dikatakan semakin hampir mencapai tanda harga £68.6 juta (RM370.36 juta) ditetapkan Barcelona terhadap pemain tengah itu.

Pasukan dibimbing Xavi itu bertegas dengan nilai berkenaan untuk mendapatkan semula £65 juta (RM350.92 juta) dibelanjakan untuk mendapatkan pemain berusia 25 tahun itu dari Ajax pada 2019.

United dilaporkan turut hampir mendapatkan seorang lain bekas pemain di bawah ten Hag iaitu pemain sayap Ajax dan Brazil, Antony.

Pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan ten Hag semula dan tidak hadir ketika sesi latihan bersama pengurus baharu, Alfred Schreuder pada Jumaat lalu, kerana bercuti panjang.

Antony - disahkan sebagai sasaran ten Hag ketika perbincangan dengan pengarah bola sepak United, John Murtough di Amsterdam, bulan lalu - memiliki hubungan baik dengan pengurusnya itu selepas dibawa dari Sao Paulo pada 2020.

Rundingan masih dijalankan terhadap pemain bernilai £40 juta (RM215.95 juta) itu, yang menjaringkan 12 gol dan melakukan 10 bantuan jaringan ketika Ajax yang dibimbing ten Hag memenangi gelaran Eredivisie, musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 8:35 PM