MOHAMED Salah. FOTO EPA
MOHAMED Salah. FOTO EPA
Agensi

London: Liverpool mungkin membenarkan Mohamed Salah meninggalkan kelab itu pada musim panas ini jika mendapat tawaran yang sesuai.

Walaupun sudah kehilangan Sadio Mane yang berhijrah ke Bayern Munich, Liverpool mungkin akan menjual seorang lagi bintang berprofil tinggi mereka dan bersedia mempertimbangkan tawaran sekitar £60 juta (RM324 juta) untuk mana-mana kelab mendapatkan Salah.

Salah, 30, bakal memasuki tahun terakhir kontraknya di Liverpool dan persetujuan masih belum dicapai berhubung lanjutan kontrak baharu.

Mane juga mempunyai baki setahun dalam kontraknya dan akhirnya mengambil keputusan berhijrah ke Bayern Munich.

Real Madrid di bawah bimbingan Carlo Ancelotti sedang memantau situasi Salah ketika mereka mempertimbangkan untuk mengemukakan tawaran bagi mendapatkan pemain antarabangsa Mesir itu.

Salah dilaporkan menuntut gaji £400,000 (RM2.1 juta) seminggu jika dia mahu kekal di Liverpool, peningkatan yang cukup ketara.

Liverpool sudah membawa masuk penyerang Darwin Nunez dan mereka juga mempunyai Diogo Jota serta Roberto Firmino tetapi kehilangan Salah masih memberi impak besar kepada pilihan jentera serangan kelab itu.

Musim lalu Salah menjaringkan 31 gol dan 16 bantuan gol untuk Liverpool sepanjang 51 penampilan dalam semua pertandingan.

Sejak menyertai Liverpool pada 2017, Salah sudah memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 5:37 PM