TAYLOR.  - Daily Mail
TAYLOR. - Daily Mail

Los Angeles: Penyanyi yang juga penulis lirik, Taylor Swift, menduduki tangga teratas senarai selebriti berpendapatan paling tinggi dengan meraih AS$170 juta (RM676 juta) tahun lalu.

Menurut senarai tahunan yang dikeluarkan majalah Forbes itu, Taylor mengatasi bintang pop lain termasuk Adele yang berada di tempat ke sembilan dengan AS$80.5 juta (RM320 juta), Madonna, 12, AS$76.5 juta (RM304 juta) dan Rihanna, 13, AS$75 juta (RM300 juta).

Diva pop itu juga mengatasi pencabarnya, Katy Perry yang menduduki tempat teratas tahun lalu, tetapi kini jatuh ke tangga ke-63 dengan pendapatan AS$41 juta (RM163 juta).

Sebahagian besar pendapatan Taylor yang popular dengan lagu ‘Shake It Off’ itu diraih menerusi konsert ‘1989 World Tour’ apabila jualan tiket konsert mencecah AS$200 juta (RM800 juta).

Sementara itu, bekas teman lelakinya, Calvin Harris berada di tempat ke-21 dengan AS$63 juta (RM250 juta).

Selebriti lain yang menduduki 10 tempat teratas ialah kumpulan One Direction yang menduduki tangga kedua dengan AS$110 juta (RM437 juta), pelakon dan pelawak Kevin Hart, di tangga ke-6 dengan AS$87.5 juta (RM347 juta) dan Howard Stern di tempat ke-7 dengan AS$85 juta (RM337 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:34 AM