KAPTEN Manchester City, Fernandinho. -FOTO AFP
KAPTEN Manchester City, Fernandinho. -FOTO AFP
AFP

London: Kapten Manchester City, Fernandinho berkata memenangi kejuaraan Liga Perdana musim ini adalah sesuatu yang manis untuk dikenang.

Pemain tengah Brazil berusia 37 tahun itu bakal meninggalkan Stadium Etihad penghujung musim ini selepas sembilan tahun bersama kelab itu.

Penyandang kejuaraan City kini bertarung dengan Liverpool dalam merebut kejuaraan dan kini mendahului tiga mata di puncak liga selepas membelasah Newcastle 5-0 ketika seteru utama mereka itu diikat Tottenham Hotspur 1-1 di laman sendiri.

Ia adalah keputusan yang diinginkan oleh City untuk membangkitkan semula semangat mereka selepas tewas dengan agregat 5-6 kepada Real Madrid di Liga Juara-Juara dan terpaksa menunggu lagi untuk meraih kejuaraan utama Eropah itu selepas melepaskan dua gol pada minit terakhir.

"Setiap gelaran itu manis," kata Fernandinho yang kini berusaha untuk meraih trofi kelima Liga Perdananya.

"Ia akan ditambah menjadi satu lagi.. dengan lebih sedikit gula.

"Ia adalah tindak balas yang hebat tapi pada masa yang sama kami perlu fokus kepada diri sendiri biarpun tahu gelaran itu berada di tangan kami."

Katanya: "Tidak kira apa yang mereka lakukan di sana, kami perlu terus mengharungi semua perlawanan yang sukar.

"Ini yang kami cuba lakukan, fokus kepada diri sendiri tetapi saya fikir ia adalah tindak balas selepas kekalahan di Madrid terutama untuk penyokong dan diri kami kerana apabila anda kalah dalam perlawanan seperti itu, keyakinan boleh menurun sedikit.

"Tapi bukan hanya kepada keputusan, prestasi keseluruhannya sangat baik dan kami sangat gembira dengan itu."

Satu kelemahan yang dikenal pasti selepas kejayaan City menewaskan Newcastle apabila Ruben Dias terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan pada babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:49 AM