REAKSI Faisal selepas menjaringkan gol ketika menentang Selangor FC.
REAKSI Faisal selepas menjaringkan gol ketika menentang Selangor FC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim meletakkan harapan tinggi agar dapat beraksi dalam aksi kalah mati saingan Piala FA pusingan pertama menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, Jumaat ini.

Ini kerana pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengalami kecederaan hamstring pada Jumaat lalu ketika membantu pasukannya menundukkan Selangor FC 2-0.

Bagaimanapun, pemain sayap itu yakin sekiranya tidak sempat sembuh, pemain yang bakal mengisi posisi berkenaan mampu menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

"Sejujurnya saya begitu kecewa atas kecederaan ini apatah lagi aksi penting itu pertemuan kalah mati, seboleh-bolehnya saya mahu turun beraksi membantu pasukan.

"Lagipun gol pertama musim ini ketika menundukkan skuad The Red Giants minggu lalu membakar lagi semangat saya untuk membantu pasukan mara ke pusingan kedua.

"Namun saya reda dengan ketentuan itu dan tetap percaya rakan sepasukan mampu menggalas tugas berkenaan dengan corak permainan terbaik sekiranya saya tidak dapat beraksi," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Mengulas lanjut, pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' akui rakan sepasukannya bakal berdepan dengan laluan getir bertemu skuad Hobin Jang Hobin itu memandangkan skuad kendalian K Devan itu berada pada kedudukan lebih baik dalam carta liga berbanding TFC.

Aksi kedua-dua pasukan sepatutnya berlangsung Mac lalu, namun disebabkan pemain skuad NSFC ramai yang dijangkiti wabak pandemik Covid-19, aksi berkenaan ditunda Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:21 PM