SESI latihan Liverpool yang akan menentang Villarreal di Anfield. -FOTO Reuters
SESI latihan Liverpool yang akan menentang Villarreal di Anfield. -FOTO Reuters

London: Jurgen Klopp berkata ia sesuatu yang 'istimewa' buat Liverpool yang dalam persiapan untuk menghadapi Villarreal di Anfield dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Ia adalah kali ketiga Klopp membawa Liverpool ke separuh akhir kejohanan elit Eropah itu dalam tempoh empat tahun terakhir beliau sebagai pengurus pasukan.

Liverpool berada dalam landasan terbaik untuk memenangi empat kejuaraan sekali gus musim ini sekiranya berjaya menjulang Piala Liga dan mara ke final Piala FA.

"Setiap perlawanan seperti perlawanan akhir

"Sangat istimewa rasanya dapat mara ke separuh akhir, ia gila. Ini adalah perlawanan yang besar. Begitu ramai jurulatih dan pemain bekerja keras sepanjang hidup mereka tetapi tidak dapat peluang mara ke separuh akhir.

"Kami akan berada di sana jadi kami perlu hargai dan menikmatinya," Kata Klopp

Kapten Liverpool Jordan Henderson berkata, apa yang dicapai pasukan di bawah kendalian Klopp setakat ini adalah sangat istimewa. Akan tetapi perjalanan masih jauh lagi untuk memenangi keempat-empat piala itu.

"Saya tahu betapa cepatnya bola sepak boleh berubah. Orang ramai bercakap tentang apa yang boleh kami menang tetapi kami tahu jika ada beberapa perlawanan yang buruk semuanya boleh berakhir.

"Ia berkenaan tumpuan pada perlawanan dan cabaran seterusnya walau apa pun cabaran lihat di mana kami berada pada penghujung musim," Katanya.

Liverpool mampu memberi saingan kepada Manchester City yang kini hanya ketinggalan satu mata dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris itu.

Kedua pasukan itu juga akan bertemu dalam perlawanan akhir sekiranya mara dari separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Tetapi Klopp berkata Liverpool tidak akan memandang rendah Villarreal yang berjaya menumbangkan Bayern Munich pada suku akhir dan Juventus dalam pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 1:30 PM