MALONEY (kanan) dilihat calon hangat susulan kejayaannya membimbing skuad B19 layak secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). FOTO NSTP
MALONEY (kanan) dilihat calon hangat susulan kejayaannya membimbing skuad B19 layak secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Antara Brad Maloney dan Yusri Che Lah, siapakah pengendali skuad Sukan SEA Hanoi 2021?

Mungkin itu dua nama yang kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dipertimbangkan memikul tanggungjawab selaku pengendali pasukan selepas badan induk itu mencapai kata sepakat untuk menghantar skuad bawah 19 tahun (B19) negara ke temasya dwi tahunan itu.

Maloney mungkin dilihat calon hangat susulan kejayaannya membimbing skuad B19 layak secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan Mac ini selepas menjuarai Kumpulan G pada peringkat kelayakan lalu.

Malah, pencapaian muncul naib juara Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) B18 pada 2019 lalu juga boleh diambil kira buat meletakkan pengendali dari Australia itu sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun, kemampuan Yusri turut tidak boleh diketepikan begitu saja apabila bekas pemain kebangsaan itu pernah membimbing beberapa pasukan utama Liga Malaysia dengan majoriti dianggotai pemain muda.

Walaupun tidak meraih apa-apa trofi, namun kebolehan Yusri memimpin pasukan muda dalam liga domestik cukup memikat dan oleh sebab itu beliau dilantik untuk membimbing skuad Projek FAM-MSN yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim ini.

Ketika ditanya kepada Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee, beliau tidak menafikan atau mengiyakan dua calon berkenaan.Sebaliknya beliau status ketua jurulatih skuad Sukan SEA negara masih belum diputuskan dan sedang dinilai.

"Kami belum memutuskan siapa bakal menjadi membimbing pasukan B19 negara pada temasya Sukan SEA 2021 nanti.

"Skop pemilihan pemain B19 juga lebih besar termasuk pemain sedia ada skuad Maloney dan skuad Yusri dalam kategori yang sama apabila kita menubuhkan skuad Projek FAM-MSN, ini memberikan kita banyak kelompok pemain untuk dipilih.

"Cuma, apa yang boleh saya katakan kombinasi pemain dalam pasukan itu akan dibentuk menerusi skuad B19 dibawah bimbingan Maloney dan Skuad Projek MSN-FAM yang bersaing dalam Liga Perdana tahun ini," katanya ketika ditemui di Wisma FAM di Kelana Jaya.

Mengulas mengenai sasaran, Kim Swee menjelaskan pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran di Sukan SEA Vietnam sebaliknya ia dirangka dalam misi memastikan skuad itu mampu melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

"Langkah ini bertujuan untuk memberi pendedahan buat pasukan yang memiliki potensi sangat besar dan antara generasi terbaik kita miliki, selain dalam usaha FAM untuk memastikan skuad negara dapat layak ke temasya Sukan Olimpik 2024.

"Sebelum ke arah itu, skuad B19 ketika ini turut diberi peluang untuk beraksi dalam saingan kelayakan Kejuaraan Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2022 yang turut dilangsungkan tahun ini sebelum fasa seterusnya pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:55 PM