SHADAN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga Allahyarham Azizan Baba. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SHADAN (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga Allahyarham Azizan Baba. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak RM2,658 berjaya dikumpul sempena perlawanan amal bagi sumbangan kepada bekas pemain Melaka, Allahyarham Azizan Baba yang meninggal dunia akibat kanser.

Urusetia perlawanan terbabit Zainol Arief Rosli berkata, sebanyak enam pasukan menyertai Drago 7 Side Charity Cup 2022 membabitkan pasukan Elite, ExPresident, ExBelia, Drago, MPHTJ dan SC Club yang berlangsung di Bukit Katil malam tadi.

Katanya, sumbangan bertujuan meringankan beban keluarga Allahyarham selepas bekas pemain terbabit meninggal dunia akibat kanser minggu lalu bermula.

Menurutnya, sumbangan kutipan disampaikan oleh Yang di Pertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Shadan Othman wakil keluarga Allahyarham.

"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyumbang termasuk bekas pemain kebangsaan dan Melaka, orang ramai, penggiat dan peminat bola sepak serta semua yang terbabit dalam perlawanan amal berkenaan.

"Sumbangan tenaga dan apa juga usaha yang dilakukan amat dihargai kerana ia membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang kepada bekas pemain yang pernah mewarnai bola sepak negeri dan negara," katanya.

Malah sumbangan terbabit sedikit sebanyak membantu meringankan beban isteri Allahyarham yang menyara lapan anak yang masih kecil.

Antara yang turut beraksi termasuk bekas pemain kebangsaan Halim Jantan, Samsurin Abd Rahman, Rashid Mahmud, Mohd Noor Derus dan Mazlan Wahid .

Hadir sama beberapa pemain Liga Super Melaka United dan penolong jurulatih skuad berkenaan Nazrolerwan Makmor.

Allahyarham pernah mewakili beberapa pasukan termasuk Perak, Kuala Lumpur, Melaka, Johor FC, Sarawak dan Pulau Pinang serta skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:21 PM