KAYU di pagar rumah menjadi tempat Drago melepak.
KAYU di pagar rumah menjadi tempat Drago melepak.
Hafiz Ithnin


Manjanya si Drago apabila tuannya tiada di sisi, ia tidak mahu makan.

Malah, iguana itu juga perlu dipujuk untuk makan menerusi panggilan video.

Keletah Drago yang seperti kanak-kanak sebenarnya amat mencuit hati pemiliknya, Nur Iman Rusdi yang memiliki haiwan kesayangan itu sejak Mei tahun lalu.

Nur Iman berkata, dia membeli Drago pada RM350 kerana sejak kecil berminat memiliki haiwan itu.

Jelasnya, pada usia kanak-kanak, bapanya mempunyai seekor iguana, tetapi tidak menyangka iguana miliknya mempunyai sifat yang begitu manja.

"Sebelum membeli Drago saya membuat banyak bacaan mengenai iguana kerana tidak mahu mempunyai haiwan kesayangan tanpa berilmu.

"Apabila saya membaca mengenai iguana ini, baharu saya tahu bahawa haiwan ini adalah sejenis yang amat manja dengan pemilik apabila diberikan perhatian penuh, contohnya sentiasa bercakap atau sentiasa menyuap makan," katanya.

Bercerita mengenai diet yang diberikan kepada Drago, Nur Iman menjelaskan pelbagai sayur kangkung dan pak choy menjadi pilihan haiwan kesayangannya itu.

"Dari segi tempat tinggal, Drago saya hanya lepaskan dalam rumah kerana haiwan kesayangan saya ini amat jinak.

"Malah, Drago juga adalah iguana yang bijak. Misalnya, ketika tidur bersama, apabila ia ingin membuang air, Drago terus ke tandas. Jadi, tidak khuatir Drago tidak membuang air merata-rata dalam rumah," katanya.

Katanya, menjaga iguana itu adalah amat mudah, tetapi perlu memahami keperluan kehidupannya seperti menyediakan pencahayaan ultraungu B (UVB) dan ultraungu A (UVA) yang sesuai.

"Namun, Drago ini adalah iguana yang cerdik kerana pada sebelah pagi ia berjalan sendiri ke kawasan yang mempunyai cahaya matahari dan melepak lama atas pemampat penyaman udara untuk memanaskan badan," katanya.

Iguana makan sayur-sayuran serta buah-buahan

Menurut portal haiwan kesayangan, thesprucepets.com Iguana atau nama sainstifiknya Iguana adalah berasal mudah dijumpai secara semula jadi di Amerika Tengah ke bahagian tropika Amerika Selatan dan beberapa pulau Caribbean timur.

Dari segi saiznya, iguana mempunyai berat mencecah 10 kilogram dan mempunyai panjang sehingga 22 meter panjang (72 inci) yang ekornya menyumbang sebahagian besar panjang keseluruhan.

Iguana dalam keluarga cicak itu mesti mempunyai sumber pencahayaan UVB dan UVA yang sesuai.

Jika tidak, badan haiwan itu tidak dapat menghasilkan vitamin D yang menggalakkan penyerapan kalsium yang boleh mengakibatkan penyakit tulang metabolik (MBD) sehingga boleh membawa maut.

Pencahayaan UVB perlu dihidupkan selama 10 hingga 12 jam sehari dan mentol perlu ditukar setiap enam bulan, tidak kira sama ada lampu padam atau tidak.

Iguana juga memerlukan kelembapan persekitaran purata kelembapan sehingga 80 peratus yang mana situasi tropika begitu sesuai dengan habitatnya.

Sebagai haiwan herbivor, iguana memakan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayur-sayuran berdaun gelap menjadi sebahagian besar diet harian, termasuk sayur-sayuran dandelion, kangkung, pasli segar, sawi dan sayur-sayuran berdaun kaya kalsium yang lain.

Iguana menelan makanan sepenuhnya tanpa mengunyah. Justeru, semua bahan makanan perlu menjadi kepingan kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 7:01 AM