CASILLAS (tiga kiri) dan Kaka (tiga kanan) meriahkan pelancaran bola Piala Dunia 2022 di Doha. -FOTO Wan Asrudi Wan Hassan
CASILLAS (tiga kiri) dan Kaka (tiga kanan) meriahkan pelancaran bola Piala Dunia 2022 di Doha. -FOTO Wan Asrudi Wan Hassan
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Doha, Qatar: Brazil tetap menjadi antara pasukan pilihan saingan Piala Dunia 2022 di Qatar menurut legendanya, Ricardo Izecson dos Santos Leite, 39, atau Kaka.

Bekas bintang tengah AC Milan dan Real Madrid itu menaruh keyakinan kepada corak taktikal yang diterapkan jurulatih skuad Selecaos, Tite.

"Apabila Brazil tewas kepada Belgium di Piala Konfederasi ramai menyangka Tite akan dipecat kerana tradisinya anda akan disingkirkan jika tiada kejayaan tetapi dia masih kekal.

"Ia menunjukkan Persekutuan Bolasepak Brazil mempunyai perancangan jangka panjang untuk pasukan itu.

"Tite mencuba pelbagai gandingan, melakukan beberapa perubahan dan menerapkan idea berbeza. Anda dapat lihat bagaimana pemain muda mempamerkan peningkatan di bawah kendaliannya.

"Brazil pastinya pasukan pilihan selain Perancis tentu mahu mempertahankan gelaran mereka manakala Jerman mempunyai skuad yang kuat.

"Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi (Argentina) pula pasti mahu membantu pasukannya pada kejohanan yang mungkin menjadi saingan Piala Dunia terakhir mereka." kata Kaka yang mempunyai 92 kap penampilan bersama Brazil selain membantu pasukan itu muncul juara Piala Dunia 2002.

Dia ditemui media ketika majlis pelancaran bola Piala Dunia 2022 di padang pasir dekat Doha.

Bola rasmi kejohanan diberi nama Al-Rihla bermaksud pengembaraan dalam bahasa Arab dan dihiasi corak diinpirasi oleh keunikan seni bina, bot ikonik serta bendera kebangsaan Qatar.

Hadir sama pada majlis itu penjaga gol legenda Sepanyol dan Real Madrid, Iker Casillas.

Ditanya mengenai siapakah antara pemain muda Brazil yang bakal mencuri tumpuan di Qatar nanti Kaka memberitahu pemain seperti Vinicius Junior dan Eder Militao membuatkan saingan lebih menarik begitu juga Raphinha yang beraksi di Liga Perdana Inggeris.

"Raphinha salah seorang pemain berbakat. Di Brazil, kami tidak begitu mengetahui mengenainya kerana dia beraksi di Eropah pada usia yang sangat muda.

Kini anda dapat lihat bagaimana aksinya bersama Leeds United dan kehadirannya memberi impak ketika menyertai skuad kebangsaan.

"Selain itu sudah tentu penampilan Neymar dan Roberto Firmino yang menjadi perhatian." kata Kaka yang memaklumkan aksi pusingan akhir Piala Dunia di Qatar bermula November ini bakal memberikan pengalaman berbeza dan menarik.

Dalam pada itu, Casillas berkata menganjurkan pelancaran bola rasmi kejohanan buat julung kali di padang pasir adalah sesuatu berbeza dan menunjukkan kelainan dibawakan oleh negara tuan rumah berkenaan.

"Sememangnya ia sesuatu yang baru dan menakjubkan. Mereka membuktikan Piala Dunia perlu diadakan di negara berbeza, bukan hanya negara sinonim dengan bola sepak," kata Casillas yang turut terbabit dalam perlawanan bola sepak pertunjukan sempena majlis pelancaran itu.

Casillas sebelum ini pernah mengetuai Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:27 PM