AKSI skuad futsal negara ketika menumbangkan Brunei 10-0 hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI skuad futsal negara ketika menumbangkan Brunei 10-0 hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Walaupun dilihat agak mustahil mampu menewaskan Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan Futsal AFF 2022 namun pengendali skuad negara Chiew Chun Yong tidak mahu anaknya 'lunyai' dibelasah pasukan terbabit pada aksi terakhir esok.

Chun Yong berkata, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi segera dalam usaha meraih sekurang-kurangnya seri ketika bertemu tuan rumah itu.

Menyedari pasukan di ranking ke 18 dunia itu tidak akan memberi peluang dan ruang kepada Malaysia, Chun Yong akan melihat taktikal bersesuaian dalam usaha mengekang setiap asakan bagi memastikan gawang tidak dibolosi.

"Kita tahu Thailand antara pasukan yang memiliki barisan pemain hebat dan cukup sukar untuk ditewaskan di peringkat Asia Tenggara.

"Namun, saya tidak mahu memandang perkara itu sebagai halangan kerana kita mampu melakukan kejutan jika terus mempamerkan aksi konsisten.

"Saya mengharapkan barisan pemain dapat perbaiki kelemahan dan mengekalkan momentum permainan untuk memastikan kita mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata bertemu Thailand," katanya.

Terdahulu, pasukan futsal Indonesia cukup sukar untuk dijinakkan apabila skuad negara tewas 1-5 pada perlawanan kedua Kumpulan A Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand, semalam.

Keputusan tidak menyebelahi pasukan negara itu menyebabkan kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan A sekali gus mengharapkan keputusan positif pada dua baki perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 9:39 PM