Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meraikan jaringan dalam aksi Liga Perdana. FOTO Reuters
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah meraikan jaringan dalam aksi Liga Perdana. FOTO Reuters
Agensi

London: Juventus dilaporkan mengenal pasti penyerang Liverpool, Mohamed Salah sebagai sasaran perpindahan berpotensi menjelang jendela perpindahan musim panas.

Salah antara pemain paling menyinar di Anfield, meledak 153 gol dari 229 penampilan dan memenangi kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara bersama kelab itu.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan Mesir itu mempunyai baki 15 bulan daripada kontrak asalnya dan mengikut beberapa laporan dia tidak begitu berminat melanjutkan aksi di Merseyside.

Menurut laporan Gazzetta dello Sport, Juventus bersedia memanfaatkan situasi berkenaan dengan menawarkan Salah kontrak empat tahun untuk berpindah ke Turin.

Laporan mendakwa gergasi Serie A Itali itu bersedia membayar pemain berusia 29 tahun berkenaan lebih daripada £10 juta (RM55 juta) setahun dengan ruang untuk menggunakan sumber kewangan yang ada hampir pasti apabila Paulo Dybala dijangka bakal meninggalkan kelab itu sebagai pemain bebas.

Liverpool mahu berusaha mengelak situasi sama membabitkan Salah dan dijangka akan bersedia dengan tawaran sekitar £50 juta (RM279 juta) hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 9:56 AM