AARON RAMSEY
AARON RAMSEY
AFP

LONDON: Aaron Ramsey bakal menyertai antara kelab terkaya Eropah selepas tertarik dengan tawaran lumayan ke Juventus namun mampukah pemain tengah Arsenal itu mempamerkan aksi setanding dengan gaji yang diterimanya.

Laporan di Britain mendakwa kontrak empat tahun Ramsey membolehkannya menerima gaji asas £400,000 (RM1.84 juta) seminggu sebaik dia menyertai Juventus sebaik tamat musim ini.

Tatkala segelintir media Itali mempersoalkan betapa kontrak itu begitu tinggi, tidak dinafikan bahawa bintang Wales itu antara pemain bergaji lumayan di dunia.

Ramsey berhak menerima gaji itu kerana kontraknya bakal berakhir hujung musim ini, membolehkanya menyertai prakontrak dengan mana-mana kelab luar negara selepas 1 Januari di bawah ‘Peraturan Bosman’ yang memberi garis panduan buat perpindahan secara ejen bebas.

Pemain berusia 28 tahun itu adalah pemain berkualiti namun tidak ramai yang meletakkannya setanding bakal rakan sepasukan di Juventus Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar, masing-masing adalah ikon global yang menerima gaji terbesar dalam sukan itu.

Kesediaan Juventus berbelanja besar bagi mendapatkan Ramsey mengejutkan ramai, namun memandangkan kelab Itali itu tidak perlu membayar yuran perpindahan kepada Arsenal, mereka melihatnya sebagai satu pelaburan yang bagus.

Pengarah sukan Juventus Fabio Paratici memberitahu Gazzetta dello Sport bahawa Ramsey mampu mengetengahkan potensi sepenuhnya di Turin.

“Pada pandangan saya, Ramsey adalah pemain yang tidak menemui posisi sesuai kerana tidak diturunkan dalam kelompok tiga pemain tengah, iaitu tugas utamanya di mana dia mampu membuat larian pantas,” katanya.

Ramsey membantu enam jaringan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, lebih daripana mana-mana pemain tengah Juventus dan John Toshack, yang memberikan penampilan sulung Ramsey bersama Wales, percaya bekas pemainnya mampu menghadapi cabaran Serie A.

“Dia mampu bermain dengan baik dalam posisi tiga pemain tengah di mana dia mampu pergi lebih jauh. Dalam bola sepak moden, anda perlu versatil dan dia seorang pemain moden,” kata Toshak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:21 PM