PAUL Pogba. -FOTO Reuters
PAUL Pogba. -FOTO Reuters
AFP

London: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mendedahkan rumahnya dirompak ketika anak-anaknya sedang tidur di bilik tidur mereka sewaktu pasukannya tewas dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Atletico Madrid.

Pogba mengetahui perkara itu hanya beberapa minit selepas United tewas 0-1 kepada Atletico dalam saingan 16 terbaik pusingan kedua sekali gus terkeluar daripada saingan apabila tewas dengan agregat 1-2.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu, yang diturunkan pada separuh masa kedua sebagai pemain gantian ketika berdepan Atletico, terkejut menerima perkhabaran itu ketika isterinya Maria Zulay Salaues berada di Old Trafford menyaksikan perlawanan.

"Malam tadi adalah mimpi buruk buat keluarga kami apabila rumah kami dipecah masuk ketika anak kami sedang tidur di bilik mereka," katanya di Twitter.

"Pencuri itu memecah masuk rumah kurang daripada lima minit tapi mereka mengambil sesuatu yang lebih berharga dari segalanya di rumah kami, iaitu rasa selamat dan keselamatan.

"Ia berlaku pada minit akhir perlawanan malam itu apabila mereka tahu kami tidak akan pulang ke rumah.

"Saya dan isteri bergegas pulang tanpa mengetahui sama ada anak-anak kami selamat atau tidak cedera.

"Sebagai seorang bapa, tiada perasaan yang lebih teruk di dunia ini daripada tidak berada di sana untuk melindungi anak-anak anda dan saya berharap tiada sesiapapun yang perlu merasai apa yang saya rasa malam tadi.

"Atas sebab inilah saya menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai petunjuk untuk membantu kami."

Rakan sepasukan Pogba di United, Victor Lindelof turut menjadi mangsa dengan apa yang disifatkannya sebagai 'sangat traumatik' apabila rumahnya pecah masuk ketika dia bermain menentang Brentford pada Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 10:16 AM