LIVERPOOL bakal berdepan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala Liga awal pagi Isnin. FOTO Reuters
LIVERPOOL bakal berdepan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala Liga awal pagi Isnin. FOTO Reuters
Reuters

London: Juergen Klopp sudah menamatkan penantian 30 tahun Liverpool untuk muncul juara liga serta membawa pasukan berkenaan menikmati kejuaraan Liga Juara-Juara namun beliau berharap dapat menamatkan badi di Wembley ketika cuba untuk meraih trofi domestik di England.

Beliau berjaya membawa Liverpool ke Wembley untuk aksi awal pagi Isnin menentang Chelsea dalam perlawanan akhir Piala Liga, dengan beraksi di gelanggang yang sering tidak menyebelahinya.

"Sudah beberapa kali saya ke Wembley. Dua kali dan kedua-duanya berakhir dengan kekalahan.

"Itu tidak mengapa kerana saya akan menjadi cemerlang pada percubaan kali ketiga. Itulah kisah hidup saya.

"Saya berjaya melakukannya dalam saingan Liga Juara-Juara dan aksi lain. Ia petanda yang baik. Saya menyukai stadium berkenaan. Kedua-dua aksi pasukan saya bermain dengan baik tapi kami kalah. Saya gembira untuk mencubanya sekali lagi," kata Klopp.

Ketika membimbing Borussia Dortmund pasukan berkenaan tumpas kepada kelab senegara, Bayern Munich dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2013, sebelum menyaksikan Liverpool tumpas kepada Manchester City dalam final Piala Liga tiga tahun kemudian.

Liverpool cuba untuk meraih kejuaraan Piala Liga buat kali kesembilan dengan pencapaian terakhir mereka adalah pada 2012 ketika menumpaskan Cardiff City melalui sepakan penalti.

Ini adalah perlawanan akhir kali ke-13 mereka dalam saingan berkenaan iaitu empat kali lebih banyak berbanding pasukan lain.

Di bawah bimbingan Klopp, Liverpool mencatat 35 peratus kemenangan ketika bertemu Chelsea dalam semua kejohanan.

Klopp juga tidak pernah menang dalam empat pertemuan terakhir mereka termasuk tiga aksi ketika Chelsea di bawah bimbingan Thomas Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 1:20 PM