Penyerang Monaco, Wissam Ben Yedder (kiri) dikawal pemain Lens pada aksi pusingan ke-16 Piala Perancis. FOTO AFP
Penyerang Monaco, Wissam Ben Yedder (kiri) dikawal pemain Lens pada aksi pusingan ke-16 Piala Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Kelab Divisyen Empat, Bergerac Perigord mengejutkan kelab bergelut di Ligue 1, Saint-Etienne 1-0 untuk menempah tempat ke suku akhir Piala Perancis sementara Monaco menyingkir seteru di liga utama, Lens 4-2 dalam satu lagi pertembungan 16 terakhir.

Pemain gantian, Romain Escarpit menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-76 buat kelab dari Dordogne sebelah barat Perancis yang turut mencipta kejutan ke atas kelab dari Ligue 1, Metz dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti bulan lalu.

"Sejujurnya ia sangat menakjubkan," kata Escarpit.

"Kami tidak putus asa, kami berjuang. Kami gembira mencatat keputusan ini bersama kerana ia jarang berlaku dalam karier."

Bergerac mara dalam kelompok lapan terakhir buat pertama kali dalam sejarah kelab itu dan menyertai satu lagi wakil Divisyen Empat, Versailles yang mengejutkan pendahulu Ligue 2, Toulouse 1-0, semalam.

"Kami kurang naluri pemusnah," kata kapten Saint-Etienne, Timothee Kolodziejczak, di mana pasukan mereka menguasai perlawanan namun hilang punca di depan jaring gol.

Sementara itu di Lens, naib juara tahun lalu, Monaco mengesahkan tempat ke suku akhir dengan Wissam Ben Yedder meledak dua gol.

Mereka mendahului selesa tiga gol dalam tempoh setengah jam menerusi tandukan Ben Yedder selepas 18 minit permainan diikuti jaringan pantas Jean Lucas dan Sofiane Diop.

Wesley Said memberi sedikit harapan buat tuan rumah sebelum Arnaud Kalimuendo mencetuskan kebangkitan menerusi jaringan kedua pada minit ke-53 malah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-84 namun percubaannya tersasar.

Namun Ben Yedder merentap semangat pasukan lawan apabila sekali lagi menjaringkan gol buat juara lima kali itu ketika perlawanan berbaki dua minit permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 8:31 AM