HIDALGO (kanan) yang sebelum ini tidak berada dalam senarai pemain import musim 2022 akan kembali bersama Sri Pahang. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
HIDALGO (kanan) yang sebelum ini tidak berada dalam senarai pemain import musim 2022 akan kembali bersama Sri Pahang. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo dikatakan kembali menyertai Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut sumber kelab itu, kehadiran pemain tengah berumur 22 tahun itu turut mendapat persetujuan daripada pengurusan tertinggi kelab berkenaan.

"Saya boleh sahkan Hidalgo yang sebelum ini tidak berada dalam senarai pemain import musim 2022 akan kembali bersama Sri Pahang.

"Diharapkan dengan pengalaman yang dimiliki Hidalgo yang menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lalu akan tampil lebih padu," kata sumber itu.

Pada 4 Disember lalu, skuad Tok Gajah membuat rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga M musim 2022 apabila melepaskan 14 pemain musim lalu termasuk lima tenaga import.

Lima pemain import yang disingkirkan adalah Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Aung Kaung Mann dan Hidalgo.

Namun, dengan kembalinya Hidalgo dalam pasukan, Sri Pahang diyakini mampu membentuk pasukan yang lebih mantap terutama di bahagian tengah.

Sebelum itu, Sri Pahang turut membuat kejutan apabila menyenaraikan kembali kapten pasukan musim lalu, Muslim Ahmad.

Setakat ini, Sri Pahang mengesahkan dua pemain import bersama kelab itu iaitu Mahmoud Za'tara dari Jordan dan bekas pemain pasukan remaja kebangsaan Perancis, Johan Martial.

Difahamkan, pengumuman rasmi barisan pemain skuad kendalian Christophe Gamel itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:00 PM