Pemain import Sri Pahang FC, Ketkeophomphone. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Pemain import Sri Pahang FC, Ketkeophomphone. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain Laos, Billy Ketkeophomphone menjadi pemain import keempat sah menyarung jersi Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Kehadiran pemain berdarah Laos-Perancis itu menamatkan teka-teki, sekali gus menjadi sandaran utama selaku penggempur skuad Tok Gajah musim ini.

Pengesahan itu diumumkan menerusi akaun rasmi Facebook Sri Pahang FC hari ini, memaklumkan bahawa penyerang berusia 31 tahun itu berpengalaman beraksi di Ligue 1.

Beliau pernah mewakili beberapa pasukan antaranya RC Strasbourg, FC Sion, Tours FC, Angers SCO, AJ Auxerre dan USL Dunkurque.

Pertama kali bermain di Asia Tenggara, Ketkeophomphone tampak sudah bersedia untuk membina gandingan hebat bersama penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za'tara.

Pengesahan Ketkeophomphone dan Za'tara itu menyaksikan secara rasminya Sri Pahang sudah menandatangani empat import termasuk penjaga gol dari Mali, Mamadou Samassa dan pertahanan Perancis, Johan Martial.

Difahamkan, antara faktor Ketkeophomphone memilih Sri Pahang ialah galakan daripada bekas penyerang import Sri Pahang, Dickson Nwakaeme.

Ini kerana Nwakaeme dan Ketkeophomphone pernah bermain bersama dengan kelab Perancis, Angers SCO pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 9:41 PM