Marcus Rashford. FOTO Agensi
Marcus Rashford. FOTO Agensi
Reuters

London: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford berkata dia kecewa dengan laporan media yang mempersoalkan komitmen pemain terhadap Ralf Rangnick selepas permulaan sukar buat pengendali Jerman itu di Old Trafford.

Beberapa pemain United dilaporkan tidak gembira dengan corak yang diterapkan Rangnick.

Pemangku pengurus itu berkata Jumaat lalu bahawa dia sedar beberapa pemain mahu meninggalkan kelab itu bulan ini.

"Kami semua kecewa dengan prestasi sejak akhir-akhir ini dan kami juga kecewa dengan bahan berita mengenai komitmen kami bukan hanya kepada pengurus dan staf kejurulatihan tetapi juga kepada kelab," kata Rashford di Twitter.

"Saya amat menghormati kedua-duanya dan saya tidak sabar untuk meningkatkan lagi permainan... saya tidak merajuk, saya bukan tidak gembira."

Rashford menambah dedikasinya terhadap kelab tidak sepatutnya dipersoalkan.

Pemain kebangsaan England berusia 24 tahun itu dimasukkan sebagai pemain simpanan ketika United tewas 0-1 dalam saingan Liga Perdana kepada Wolves, Selasa lalu.

Kekalahan pertama di bawah Rangnick yang menyebabkan United kekal di tangga ketujuh, empat mata di belakang tempat ke Liga Juara-Juara bersama satu perlawanan dalam tangan.

United menanti kunjungan Aston Villa pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 9:09 AM