LEWANDOWSKI (kiri), Messi dan Salah calon untuk anugerah Pemain Terbaik Lelaki Fifa. FOTO AFP
LEWANDOWSKI (kiri), Messi dan Salah calon untuk anugerah Pemain Terbaik Lelaki Fifa. FOTO AFP
AFP

Paris: Robert Lewandowski, Lionel Messi dan Mohamed Salah adalah tiga finalis untuk anugerah Pemain Terbaik Lelaki Fifa manakala pemenang Ballon d'Or, Alexia Putellas calon untuk kategori wanita.

Bintang Poland, Lewandowski memenangi anugerah itu pada tahun lalu namun terpaksa berpuas hati dengan undian di tempat kedua untuk anugerah Ballon d'Or 2021 di belakang Messi yang memenangi anugerah berprestij itu kali ketujuh.

Majlis anugerah itu akan berlangsung secara maya dari ibu pejabat Fifa di Zurich pada 17 Januari ini.

Putellas, rakan sepasukannya di Barcelona, Jennifer Hermoso dan penyerang Chelsea dari Australia, Sam Kerr adalah finalis untuk anugerah Pemain Terbaik Wanita Fifa. Ketiga-tiga mereka juga mengungguli tiga undian teratas anugerah Ballon d'Or.

Anugerah untuk pemain terbaik lelaki dan wanita, jurulatih serta penjaga gol itu adalah menerusi undian daripada kapten dan jurulatih kesemua pasukan kebangsaan di seluruh dunia selain undian penyokong dalam talian serta beberapa wartawan terpilih.

Proses undian itu berakhir 10 Disember lalu.

Manuel Neuer, Gianluigi Donnarumma dan Edouard Mendy adalah calon untuk anugerah penjaga gol terbaik manakala Roberto Mancini, Thomas Tuchel dan Pep Guardiola pula calon untuk jurulatih terbaik lelaki.

Lluis Cortes yang mengetuai pasukan wanita Barcelona meraih gelaran trebel musim lalu akan bersaing dengan jurulatih Chelsea, Emma Hayes dan Sarina Wiegman, bekas jurulatih Belanda yang kini membimbing England untuk anugerah jurulatih terbaik wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 9:01 AM