HARRY Maguire kini galas kapten Man United. FOTO EPA
HARRY Maguire kini galas kapten Man United. FOTO EPA
Agensi

London: Rio Ferdinand mendakwa adalah satu kesilapan menjadikan Harry Maguire kapten Manchester United dengan bekas bintang Red Devil itu percaya David de Gea sepatutnya menggalas tugas berkenaan.

Maguire menggalas tugas kapten daripada Ashley Young pada Januari 2020, kurang enam bulan selepas perpindahan bernilai £80 juta (RM451 juta) ke United dari Leicester.

Bagaimanapun pemain antarabangsa England itu menerima kritikan meluas sepanjang kempen United yang bergelut.

Ada kalangan penyokong yang menggesa Maguire dilucutkan peranan itu di Old Trafford dan terdapat laporan pada Oktober lalu menyatakan rakan sepasukannya mempersoalkan keputusan Ole Gunnar Solskjaer memberikan lilitan kapten kepadanya.

Ferdinand percaya sukar untuk pengurus sementara, Ralf Rangnick meletakkan Maguire di bangku simpanan.

"Hakikatnya lilitan kapten itu memberikannya rahmat. Saya rasa ia diberikan terlalu awal.

"Menjadi seorang kapten menggalas tanggungjawab cukup besar di bahu. Anda perlu melalui pengalaman berada di sana untuk tempoh masa tertentu sebelum menggalas tugas berat itu.

Adalah lebih penting bagi Maguire untuk menumpukan kepada menjadi tonggak utama Manchester United daripada menjadi kapten," kata Ferdinand kepada Vibe with Five.

De Gea yang juga penjaga gol United, adalah pemain paling lama dalam kelab itu bersama-sama Phil Jones yang tampil dalam kesebelasan utama sejak Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 9:04 AM